Followers

Saturday, December 25, 2010

Fiqh Daulah

Assalamualaikum....wbt

sumber dipetik dari http://hafizfirdaus.com

Ditulis oleh Pengendali Laman

Friday, 24 August 2007


Assalamualikum wbt..

Sedikit perkongsian buat sahabat-sahabat mengenai bahan ilmiah yang perlu dibaca oleh semua pimpinan dalam menerajui kepimpinan sesebuah negara. Sekadar perkongsian , memandang buku ini turut ditaklifkan kepada semua pimpinan kampus supaya dihadamkan apa sebenarnya yang ingin disampaikan dalam buku ini..

Ulasan oleh Abu Adam (abuadam@darussalam.net)

Judul buku : Fiqh Daulah Dalam Perspektif Al-Quran dan Sunnah

Judul asal : Min Fiqhid Daulah fil Islam

Penulis : Dr. Yusuf Al-Qardhawy

Penerbit : Pustaka Al-Kautsar

Harga : RM17.50 (edisi Indonesia)

Di mana : Edisi Indonesia (Pustaka Indonesia, Pustaka Antara,

Darul Fikir) Edisi BM (di mana-mana kedai buku agama), English (Specialist Bookshop, Suria KLCC)

Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz pernah berkata “Sesungguhnya pemimpin itu ibarat kedai, yang dimasukkan ke dalam kedai adalah barang yang menguntungkan. Jika pemimpin itu baik maka pengunjung kedai juga orang yang baik dan jika pemimpin itu jahat, maka para pengunjungnya juga orang yang jahat”.

Demikianlah satu antara sekian banyak kata-kata yang dapat diambil dari buku Fiqh Daulah karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawy ini.

Buku ini bukanlah sebuah buku baru dari Dr. Yusuf Al-Qardhawy, edisi terjemahannya di Malaysia sahaja sudah ada tiga Bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris, dengan tajuk terjemahan yang sedikit berbeza-beza. Ini menunjukkan betapa besarnya minat para pencinta ilmu terhadap cabang ilmu fiqh ini. Bagi yang biasa dengan metode penulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawy dalam himpunan fatwa-fatwa beliau, buku ini adalah perbahasan lanjutan dari jilid tiga dan empat kitab Fatwa Muasirah beliau (terbitan Pustaka Salam) yang banyak memuatkan fatwa-fatwa sekitar masalah siyasah(pentadbiran) daulah(kenegaraan) dan politik. Metode yang sama dikekalkan.

Apakah metode yang dimaksudkan itu? Metode yang dimaksudkan adalah mengupas fiqh atau ilmu kenegaraan dari kacamata Al-Quran dan Sunnah tanpa condong ke kanan atau ke kiri. Penyesuaian dengan suasana masakini (contemporary) berpandukan petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Tidak cenderung kepada pandangan atau ideologi mana-mana gerakan atau jemaah. Yang rajih dan kuat diunggulkan dan yang tersasar ditolak.

Perbahasan serta hujah-hujah juga tidaklah dibataskan kepada pendapat-pendapat para ulama’ terdahulu yang telah mati berabad lamanya, ini kerana banyaknya kerosakan dan penyimpangan yang dilakukan para penguasa adalah kerana bergantung penuh kepada kejumudan para fuqaha dalam mengupas isu-isu kenegaraan. Namun dalam menolak kejumudan tidaklah seharusnya kita mencontohi kesesatan golongan Nasrani yang bertindak menolak daulah secara total dan enggan berhukum dengan hukum Allah, lantas memisahkan politik dan agama. Dr. Yusuf Al-Qardhawy juga menyentuh tentang sejarah dan bahaya golongan sekular dan liberal yang wujud di kalangan umat Islam masa kini.

Saya melihat buku ini amat bermanfaat untuk dikaji kerana dewasa ini amat susah untuk mencari satu definisi dan huraian yang paling baik apabila kita mengajukan soalan-soalan kenegaraan Islam kepada kawan-kawan atau para ustaz. Bukanlah kerana masing-masing jahil atau kurang kefahaman tetapi kerana keluasan dan dinamisnya cabang ilmu ini maka ianya perlukan masa dan silabus yang terancang, tidaklah seperti sesetengah cabang ilmu lain yang mungkin mampu dihuraikan dalam tempuh yang singkat.

Suasana politik negara juga banyak memainkan peranan dalam memberikan tafisran salah terhadap fiqh ini dan untuk bersifat adil kesalahan tidaklah terletak pada satu pihak sahaja. Pihak yang mungkin mendakwa 100% di atas acuan Al-Quran dan Sunnah mungkin pada hakikatnya hanya masih di tahap 50%, begitulah juga sebaliknya. Kata Dr. Yusuf Al-Qardhawy dalam bukunya ini “zaman sekarang fiqh politik ini banyak tercoreng oleh tipu muslihat, pengertian yang samar-samar, hukum yang tidak pasti dan kekeliruan dalam benak para penganut Islam sendiri”.

Dua daripada beberapa subjek-subjek perbahasan yang penting dalam buku ini yang dapat saya petik:

Apakah benar dalam Islam wanita tiada peranan dalam isu-isu kenegaraan?, pasti ramai akan menafikannya tapi inilah yang berlaku kepada wanita-wanita Afghanistan apabila Taliban mengambilalih Kabul. Wanita yang terdiri dari para janda yang harus membesarkan anak-anak telah dinafikan hak berkerja. Ini jelas sesuatu yang merugikan umat Islam dan negara Islam. Kata Dr. Yusuf Al-Qardhawy dalam bukunya (saya ringkaskan) “menafikan hak dan peranan wanita ialah umpama bernafas dengan sebelah paru-paru atau terbang dengan sebelah sayap, kerana Islam yang benar dari Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menafikan peranan golongan wanita”.

Apakah berbilang parti itu tertolak? Jawapannya adalah Ya dan Tidak.

‘Ya’ sekiranya parti-parti yang berbilang itu adalah diasaskan untuk menolak untuk berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah.

‘Tidak’ sekiranya setiap parti itu masih berjalan atas landasan Al-Quran dan Sunnah, cuma penafsiran dan perlaksanaan yang berbeza dari segi cabang. Analogi yang diberikan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawy ialah seperti kaedah umat Islam bermazhab, iaitu masing-masing mazhab tiada percanggahan dalam isu-isu fundamental, cuma perbezaan-perbezaan cabang (furu').

Setiap umat Islam berhak untuk memilih parti mana yang dia rasakan paling hampir mendekati Al-Quran dan Sunnah sebagaimana dia memilih mazhabnya.

Masih banyak lagi subjek-subjek penting seperti ‘demokrasi dan syura’ ,'perwakilan wanita', ‘hak dan peranan non-muslim’ dan sebagainya yang tidak dapat diulas lanjut di sini dan amat mengesyorkan buku ini dimiliki sendiri oleh para netters pencinta ilmu.

#Untuk maklumat lanjut, boleh dapatkan segera kitab tersebut .

0 comments:

Post a Comment