Followers

Tuesday, December 28, 2010

Nyamuk??!!!


Kita selalu memandang remeh kepada perkara yang kecil. Serangga yang kecil. Unggas yang kecil tetapi kita tidak tahu kadangkala yang kecil lebih berbisa daripada yang besar. Ular kapak kecil dikatakan lebih bisa daripada ular kapak besar. Jadi jangan pandang rendah pada yang kecil. Sesetengah serangga kecil cukup berbisa dan hebat. Lihatlah nyamuk aedes, sudah ribuan orang yang maut kerana gigitannya. Orang yang hari ini kelihatan sihat tetapi dalam dua tiga hari meninggal dunia kerana penyakit denggi. Alahai..teringat diri penulis yang pernah juga dimasukkan ke wad selama seminggu masa form 2, gara-gara seekor nyamuk.Dek kerana tu, riuh satu quartes lantas membanteras nyamuk secara besar-besaran. Terasa diri dihargai walaupun penat dan letih terlantar di hospital, hanya Allah saja yang mengetahui. Bukan nyamuk aedes saja bawa penyakit, nyamuk lain juga tidak kurang bisanya yang menyumbang pelbagai penyakit kepada manusia termasuk malaria. Jadi untuk mencegahnya jagalah persekitaran kerana menjaga kebersihan dan persekitaran dituntut oleh Islam.

Nyamuk sebenarnya sejak ribuan tahun dulu sudah menjadi pembunuh. Ini terjadi apabila Allah SWT mengirim tentera nyamuk untuk membunuh Raja Namrud Kan'an dan tenteranya. Raja Namurd terlalu sombong untuk menerima dakwah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. dan beliau rasa tidak patut menuruti dakwah yang dibawa Nabi Ibrahim a.s.

Ketika Nabi Ibrahim menemuinya, dengan rasa egonya Raja Namrud berkata "Kumpulkan pengikutmu dan aku akan bawa pula pengikutku." Malahan beilau berkata, "Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai Malaikat, maka kirimlah kepadaku untuk berperang denganku, jika sanggup ambillah kerajaanku ini." Begitulah sombongnya, Raja Namrud pemerintah Babylon.

Nabi Ibrahim a.s. bermunajat kepada Allah sambil berkata, "Ya Allah, sesungguhnya Raja Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimlah kepada mereka tentera yang selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk."

Tentera nyamuk dari laut

Tiba masanya Namrud sudah bersiap sedia dan mengumpul ribuan tentera berkudanya. Allah SWT mengarahkan tentera nyamuk keluar dari laut. Langit gelap dengan tentera nyamuk. Bagaimanapun nyamuk itu tidak terus membunuh tetapi mendatangkan penyiksaan kepada tentera itu supaya ia diperhatikan oleh Namrud laknatullah.

Melihat apa yang berlaku kepada tenteranya Namrud mula berasa gentar tetapi semuanya sudah terlambat. Allah memerintah seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya dan berada di dalam rongga itu selama 40 hari.

Penderitaan Namrud sudah tidak tertanggung sehingga kepalanya menjadi sangat sakit. Akibat serangan nyamuk itu, Namrud sudah tidak mampu memerintah. Akibat tidak tahan dengan penderitaan, beliau mengetuk kepalanya dengan tongkat besinya. Namrud mati akibat kepalanya pecah kerana diketuk dirinya sendiri. Dia mati dalam kekufuran kerana tidak sempat bertaubat kepada Allah.

Allah berfirman, "Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu aku akan musnahkan juga mereka."

Itulah Namrud yang sebelum itu membakar Nabi Ibrahim a.s. dan seperti yang diceritakan dalam Surah Al-Anbia ayat 68 dan 69 yang bermaksud (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata:

"Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya. Tuhan berfirman, "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim."

Diceritakan ketika Nabi Ibrahim a.s. berada dalam unggun api, Jibril datang kepadanya dan berkata, "Apakah mahu pertolonganku" lalu Nabi Ibrahim menjawab, "Kalau kepada kamu tidak, tetapi kepada Allah, ya" dan api menjadi sejuk. Apa ayat yang dibaca oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika berada dalam unggun api itu ialah 'Hasbunallah' yang bermaksud "Cukuplah Allah menjadi pelindung kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung." Sama-samalah kita menjadikan ayat ini amalan ketika berdepan dengan kesusahan semoga Allah membantunya.

Namrud semakin tertekan dan malu kepada rakyatnya apabila api tidak memberi kesan kepada Nabi Ibrahim a.s. Rakyat Namrud makin goyang kesetiaan kepadanya dan mereka ditemukan lagi dalam perdebatan yang hebat. Ternyata perdebatan itu memihak kepada Nabi Ibrahim a.s. Allah juga mengutus malaikat yang menyamar menjadi manusia untuk meminta Namrud beriman kepada Allah dan Nabi Ibrahim a.s. tetapi ditolak oleh Namrud yang merasakan kerajaannya begitu kebal.

Jangan derhaka kepada Allah

Iktibarnya kita jangan derhaka kepada Allah. Apa lagi mencabar. Pada masa lalu ada ketika mendengar pelbagai cerita nasib manusia yang mencabar Allah yang akhirnya mati di panah petir. Apabila Tuhan memberi sedikit bencana, ada yang beranggapan Tuhan tidak adil. Anggaplah kesusahan atau bencana yang menimpa kita sebagai cubaan dan tahap cubaan pula tentunya tidak sama.

Jangan pula kita memandang rendah pada serangga yang kecil termasuk nyamuk dan lalat. Sudah banyak kematian umat manusia kerana nyamuk dan lalat. Pelbagai penyakit moden timbul ekoran bawaan virusnya.

Allah mempunyai sebab dijadikan nyamuk dan lalat. Bayangkan apa akan jadi pada bangkai, najis atau sampah sarap tanpa nyamuk dan lalat. Serangga kecil yang kita merasakan kewujudannya tidak berguna sebenarnya mempercepatkan proses pembentukan baja dan baja ini berguna kepada pokok yang menyumbangkan buah dan haruman untuk manusia.

Bagaimana syariat Islam mengenai nyamuk, lalat dan serangga perosak lain, sabda Nabi s.a.w. "Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh membahayakan." (Riwayat Ibnu Majah). Ulama membuat kesimpulan serangga yang memudaratkan itu boleh dihapuskan tetapi tidak dengan cara membakarnya.

::Al-kisah penceritaan tentang nyamuk adalah disebabkan sekarang ini musim demam denggi termasuk sahabat-sahabat seperjuangan di kolej.Sahabat-sahabat dipejabat pula sibuk menyanyikan lagu raja namrud yang dikalahkan oleh tentera bernyamuk, dari kumpulan Aura..Hingaq dibuatnya.Nyamuk,.nyamuk,.nyamuk...walaupun kecil...! Itu yang terasa aura betapa hebatnya ciptaan Allah swt terhadap makhluk seekor nyamuk tu..Semoga sahabat-sahabat dapat menjaga diri dan kawasan rumah dengan sebaiknya..jaga kesihatan dan kebersihan, insyaAllah semuanya terpelihara..

Wallahua'lam~

Sunday, December 26, 2010

Sejarah Dinar Emas dan Dirham Perak

By : http://emasdinar.blogspot.com

Kesohoran dinar sebagai satu mata wang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu mata wang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.
Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai mata wang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai mata wang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut.

Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku? Jawapannya ialah mata wang konvensional yang tersedia ada tidak lagi berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal dari negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai mata wang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara.
Penggunaan kedua-dua mata wang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad SAW dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga.
Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula digunakan dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18H atau 20H, Saidina Omar RA telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra.
Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6 peratus atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.


Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan mata wang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai mata wang utama.
Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” di samping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu.

Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub.
Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai mata wang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 916 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat.
Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga , gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat.
Hal ini kerana dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding mata wang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak mata wang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.

wallahua'lam...

Saturday, December 25, 2010

Fiqh Daulah

Assalamualaikum....wbt

sumber dipetik dari http://hafizfirdaus.com

Ditulis oleh Pengendali Laman

Friday, 24 August 2007


Assalamualikum wbt..

Sedikit perkongsian buat sahabat-sahabat mengenai bahan ilmiah yang perlu dibaca oleh semua pimpinan dalam menerajui kepimpinan sesebuah negara. Sekadar perkongsian , memandang buku ini turut ditaklifkan kepada semua pimpinan kampus supaya dihadamkan apa sebenarnya yang ingin disampaikan dalam buku ini..

Ulasan oleh Abu Adam (abuadam@darussalam.net)

Judul buku : Fiqh Daulah Dalam Perspektif Al-Quran dan Sunnah

Judul asal : Min Fiqhid Daulah fil Islam

Penulis : Dr. Yusuf Al-Qardhawy

Penerbit : Pustaka Al-Kautsar

Harga : RM17.50 (edisi Indonesia)

Di mana : Edisi Indonesia (Pustaka Indonesia, Pustaka Antara,

Darul Fikir) Edisi BM (di mana-mana kedai buku agama), English (Specialist Bookshop, Suria KLCC)

Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz pernah berkata “Sesungguhnya pemimpin itu ibarat kedai, yang dimasukkan ke dalam kedai adalah barang yang menguntungkan. Jika pemimpin itu baik maka pengunjung kedai juga orang yang baik dan jika pemimpin itu jahat, maka para pengunjungnya juga orang yang jahat”.

Demikianlah satu antara sekian banyak kata-kata yang dapat diambil dari buku Fiqh Daulah karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawy ini.

Buku ini bukanlah sebuah buku baru dari Dr. Yusuf Al-Qardhawy, edisi terjemahannya di Malaysia sahaja sudah ada tiga Bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris, dengan tajuk terjemahan yang sedikit berbeza-beza. Ini menunjukkan betapa besarnya minat para pencinta ilmu terhadap cabang ilmu fiqh ini. Bagi yang biasa dengan metode penulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawy dalam himpunan fatwa-fatwa beliau, buku ini adalah perbahasan lanjutan dari jilid tiga dan empat kitab Fatwa Muasirah beliau (terbitan Pustaka Salam) yang banyak memuatkan fatwa-fatwa sekitar masalah siyasah(pentadbiran) daulah(kenegaraan) dan politik. Metode yang sama dikekalkan.

Apakah metode yang dimaksudkan itu? Metode yang dimaksudkan adalah mengupas fiqh atau ilmu kenegaraan dari kacamata Al-Quran dan Sunnah tanpa condong ke kanan atau ke kiri. Penyesuaian dengan suasana masakini (contemporary) berpandukan petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Tidak cenderung kepada pandangan atau ideologi mana-mana gerakan atau jemaah. Yang rajih dan kuat diunggulkan dan yang tersasar ditolak.

Perbahasan serta hujah-hujah juga tidaklah dibataskan kepada pendapat-pendapat para ulama’ terdahulu yang telah mati berabad lamanya, ini kerana banyaknya kerosakan dan penyimpangan yang dilakukan para penguasa adalah kerana bergantung penuh kepada kejumudan para fuqaha dalam mengupas isu-isu kenegaraan. Namun dalam menolak kejumudan tidaklah seharusnya kita mencontohi kesesatan golongan Nasrani yang bertindak menolak daulah secara total dan enggan berhukum dengan hukum Allah, lantas memisahkan politik dan agama. Dr. Yusuf Al-Qardhawy juga menyentuh tentang sejarah dan bahaya golongan sekular dan liberal yang wujud di kalangan umat Islam masa kini.

Saya melihat buku ini amat bermanfaat untuk dikaji kerana dewasa ini amat susah untuk mencari satu definisi dan huraian yang paling baik apabila kita mengajukan soalan-soalan kenegaraan Islam kepada kawan-kawan atau para ustaz. Bukanlah kerana masing-masing jahil atau kurang kefahaman tetapi kerana keluasan dan dinamisnya cabang ilmu ini maka ianya perlukan masa dan silabus yang terancang, tidaklah seperti sesetengah cabang ilmu lain yang mungkin mampu dihuraikan dalam tempuh yang singkat.

Suasana politik negara juga banyak memainkan peranan dalam memberikan tafisran salah terhadap fiqh ini dan untuk bersifat adil kesalahan tidaklah terletak pada satu pihak sahaja. Pihak yang mungkin mendakwa 100% di atas acuan Al-Quran dan Sunnah mungkin pada hakikatnya hanya masih di tahap 50%, begitulah juga sebaliknya. Kata Dr. Yusuf Al-Qardhawy dalam bukunya ini “zaman sekarang fiqh politik ini banyak tercoreng oleh tipu muslihat, pengertian yang samar-samar, hukum yang tidak pasti dan kekeliruan dalam benak para penganut Islam sendiri”.

Dua daripada beberapa subjek-subjek perbahasan yang penting dalam buku ini yang dapat saya petik:

Apakah benar dalam Islam wanita tiada peranan dalam isu-isu kenegaraan?, pasti ramai akan menafikannya tapi inilah yang berlaku kepada wanita-wanita Afghanistan apabila Taliban mengambilalih Kabul. Wanita yang terdiri dari para janda yang harus membesarkan anak-anak telah dinafikan hak berkerja. Ini jelas sesuatu yang merugikan umat Islam dan negara Islam. Kata Dr. Yusuf Al-Qardhawy dalam bukunya (saya ringkaskan) “menafikan hak dan peranan wanita ialah umpama bernafas dengan sebelah paru-paru atau terbang dengan sebelah sayap, kerana Islam yang benar dari Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menafikan peranan golongan wanita”.

Apakah berbilang parti itu tertolak? Jawapannya adalah Ya dan Tidak.

‘Ya’ sekiranya parti-parti yang berbilang itu adalah diasaskan untuk menolak untuk berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah.

‘Tidak’ sekiranya setiap parti itu masih berjalan atas landasan Al-Quran dan Sunnah, cuma penafsiran dan perlaksanaan yang berbeza dari segi cabang. Analogi yang diberikan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawy ialah seperti kaedah umat Islam bermazhab, iaitu masing-masing mazhab tiada percanggahan dalam isu-isu fundamental, cuma perbezaan-perbezaan cabang (furu').

Setiap umat Islam berhak untuk memilih parti mana yang dia rasakan paling hampir mendekati Al-Quran dan Sunnah sebagaimana dia memilih mazhabnya.

Masih banyak lagi subjek-subjek penting seperti ‘demokrasi dan syura’ ,'perwakilan wanita', ‘hak dan peranan non-muslim’ dan sebagainya yang tidak dapat diulas lanjut di sini dan amat mengesyorkan buku ini dimiliki sendiri oleh para netters pencinta ilmu.

#Untuk maklumat lanjut, boleh dapatkan segera kitab tersebut .

Thursday, December 16, 2010

MatanG oR EgoiS



Kenapa lah pulak aku yang dijadikan mangsa dalam isu nie..nasib badan larrr.

Assalamualaikum...wbt.
Bebicara mengenai 'matang' tiba-tiba teringat akan kisah seorang sahabat yang sedang dirindui. Lama tidak bersua muka dengannya.. Bercerita mengenainya, sekadar untuk peringatan bukan umpatan.. Ramai orang disekelilingnya pada suatu ketika dahulu mengatakan dirinya tidak matang dalam bergerak kerja. Adakah benar? Pada mulanya, penulis agak sangsi dengan apa yang dikhabarkan. Namun, bila teringat kembali bilamana kami pernah bekerjasama dalam bergerak kerja, penulis dapat merasakan bilamana yang dikatakan dirinya tidak matang. Kerna bagi penulis sepanjang mengenalinya, beliau adalah seorang yang matang dalam segala tindakan dan pemikiran..Sifat itu sememangnya jauh jika hendak dibandingkan dengan umurnya yang sebenar, namun dia punya sifat yang suka berjenaka yang sentiasa menjadi kerinduan kepada sahabat-sahabat walaupun sukar untuk melihat dia tersenyum bila berada dalam bergerak kerja. Mengenai bergerak kerja, baru penulis teringat lantas penulis bertanya kembali kepadanya, adakah golongan yang berlainan jenis dengannya yang mengatakan dirinya tidak matang? Lantas dia menjawab, 'Ya!, kebanyakannya dari 'mereka' itu'..Sebab apa penulis bertanya sedemikian, kerna penulis dapat merasakan apa sebab sehingga golongan 'mereka' tersebut boleh berkata sedemikian kerana penulis pernah berada bersama dengannya dalam bergerak kerja. Ya, mungkin sikapnya yang sukar untuk menerima pandangan kaum tersebut, sukar untuk tersenyum dalam apa-apa perjumpaan atau berbicara mengenai kerja, dan mungkin juga sikapnya yang kadang kala sedikit emosi membuatkan 'mereka' tersebut menggelarkan dia sedemikian. Please be matured k..!! banyak kali dia mendapat mesej yang sedemikian. Ya, memang dia sering mengadu kepada penulis bilamana mendapat mesej berkata demikian. Namun, penulis minta kepadanya untuk mengabaikan mesej tersebut hatta mesej tersebut datang dari orang yang pernah dan sedang bekerja dengannya, sehinggalah satu hari tu dia berjumpa penulis dalam keadaan mata membengkak dan sedihnya tidak terkata bila melihat sahabat yang selalu ceria bersama, kini dalam keadaan yang sebegitu apabila pada kali tersebut, dia mendapat mesej yang agak kasar bunyinya bagi seorang yang berjiwa lembut seperti dia. Tidak perlu dizahirkan ayat-ayat dalam mesej tersebut. Ya, walaupun secara zahirnya dia adalah seorang yang tegas dalam berpendirian, namun dia juga punya perasaan. Sejak itu penulis boleh dikatakan agak rapat dengannya kerna untuk memahami dirinya dengan lebih rapat. Mereka tidak ada hak menuduh sedemikian. Akhirnya, penulis merasakan dia bukanlah seorang yang tidak matang, tapi EGO! Ya..! Dia seorang yang ego pada pada keadaan tertentu...Mengikut tafsiran daripada kaedah filosofi, ego itu boleh ditakrifkan sebagai suatu keyakinan yang begitu mendalam oleh seseorang itu terhadap apa yang diinginkan dalam hatinya sendiri. Menurut Kamus Dewan edisi keempat pula, ego ini membawa maksud persepsi seseorang tentang harga dirinya yang seterusnya mempengaruhi keyakinan diri sendiri. Bila penulis mengatakan kepadanya berdasarkan beberapa sebab, dia sendiri keliru..Benarkah dirinya ego??! perlukah dia ego?? Dia hanya memegang erat akan prinsipnya sahaja. Penulis membiarkan saja dia duduk sebentar supaya dia dapat kembali muhasabah dengan dirinya walaupun kita takut egonya akan membawa kepada sifat dendam bilamana dia dituduh sebegitu . "apa, ingat 'mereka' saja yang ada ego! kita pun ada ego jugalah..", itulah kata2 nya yang berada dalam keadaan ketika itu. Sememangnya dia punya peristiwa lalu yang memungkinkan dia bersikap sedemikian, namun nasihat dan beberapa pengalaman lalu sempat kukongsikan bersama dengannya agar dia meletakkan egonya ditempat yang sebenarnya.Ya, tidak dinafikan semua insan ada ego nya tersendiri..begitu juga seorang insan bergelar wanita..Rasa ego yang kadang-kdang membuat diri wanita tersebut berada didalam kemelut samada menuju kejalan kebahagiaan atau kekecewaan..Tapi puncanya tetap datang dari rasa ego wanita itu sendiri..dalam menangani rasa hati sendiri, cuba menapis apa yang dirasa dan menidakkan nya ..tapi ego itulah membuat diri wanita tersebut berada didalam kesedihan dan kesunyian..tapi tidak dapat disalahkan rasa ego wanita tersebut, Apapun, hanya wanita tersebut yang dapat memberi sepenuhnya jawapan kepada persoalan ego diri nya sendiri dan menerima risiko yang berkaitan dengan kebahagiaan dirinya sendiri ..Hakikatnya , wanita tersebut juga perlukan kebahagiaan walaupun diri sendiri takut untuk menerima risiko rasa ego nya sendiri..tapi dia tetap pasrah ..Bila ada rasa kasih di dalam diri wanita yang ada ego nya tersendiri..maka jawapannya..ku pinta dia fikirkan, semacam yangpernah penulis fikirkan....Alhamdulillah, selepas kejadian tersebut sehinggalah hari ini penulis mula melihat akan perubahan tersebut pada dirinya, sekurang-kurangnya dia sudah boleh tersenyum dalam bergerak kerja, menerima pendapat 'orang lain' dengannya, bersikap 'matang' seperti yang diharapkan dan beroptimis dalam melaksanakan tugasan. Cuma kadangkala sikap lamanya itu kembali semula, biasalah. Benarlah yang Allah tidak akan mengubah seseorang itu melainkan diri sendiri yang mengubahnya seperti kata Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud, ''Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." ( Surah Ar-Ra`du : 11).. Semoga dengan perkongsian cerita ini sedikit sebanyak mampu melunturkan ego seorang hawa yang berkemungkinan rasa tersebut ada dalam diri kita yang kita tidak sedari. Namun jika cerita ini mampu mengubah rasa tersebut yang cukup sinonim bagi seorang adam, alhamdulillah..Sungguh menkjubkan..Ala' kulli hal, sejauh mana ego kita, sepatutnya hanya DIA lah yang berhak untuk Ego kerna DIA adalah yang berkuasa. Kita hanya hamba kerdil yang sering melakukan kesalahan dan alpa dengan tanggungjawab kepadanya. Wallahua'lam..

Monday, December 6, 2010

Happy Islamic New Year


Assalamualaikum..

Happy Islamic New Year to All Muslimz...
Moga tahun ini lebih baik dari tahun yang sebelumnya..
Alhamdulillah, Salam Penghijrahan, selawat dan salam ditujukan buat kekasih kita, Nabi Muhammad s.a.w atas asbab baginda, kita mampu merasai tahun penghijrahan hingga pada hari ini..alhamdulillah..

"Hijrah Mahasiswa..."
Itulah tajuk yang cuba disampaikan oleh Prof. Wan Sulaiman Bin Wan Yusof, Dekan Kuliyyah Mua'malat dalam ceramah beliau bersempena Majlis Sambutan Ma'al Hijrah yang diadakan di surau INSANIAH pada tanggal 6 Disember 2010, sejurus usai bacaan doa' akhir tahun,kemudian disambung pula dengan bacaan yaasin dan solat maghrib berjemaah. Walaupun tidak ramai mahasiswa yang hadir asbab berada dalam fatrah imtihan, namun alhamdulillah dengan pengisian yang disampaikan membuatkan para hadirin tidak jemu mendengarnya sambil mengambil intipati yang diberikan. Apatah lagi ianya berkait rapat dengan kehidupan mahasiswa khususnya mahasiswa Insaniah..

Antara intipati yang disampaikan oleh Prof. adalah, untuk meneruskan perjuangan perlu bijak memberi amanah. Kita tidak boleh memberi amanah pada orang yang sembarangan..You sould pick and choose..Perjuangan yang ditinggalkan oleh nabi pada hari ini, banyak yang boleh kita ambil untuk kita aplikasikan dalam kehidupan pada hari ini melalui dalam konsep sejarah baginda itu sendiri.

Penulis agak tertarik dengan takrifan mengenai manusia atau khususnya mahasiswa, yang dikatakan bagus itu bagaimana ciri2nya. "Manusia yang bagus adalah manusia yang boleh mempengaruhi orang yang berpengaruh..".pada mulanya agak confius jugak dengan statement prof. ni. Namun, apabila cuba diamati, barulah penulis faham. kalau ikut bahasa sendiri, orang yang bijak ialah mereka yang bijak mengambil kesempatan ke atas orang yang berpengaruh..ada enam ciri yang beliau gariskan untuk menjadi mahasiswa yang BAGUS itu.

1) Berprihatin dan peka..Ya..sifat ini dilihat makin berkurang dalam diri mahasiswa Insaniah. xconcern dengan isu2 yang ada dalam Insaniah sendiri, apatah lagi isu-isu yang melibatkan global..itu luahan dari seorang pensyarah dan dekan.Adakah benar kita ini dikatakan kurang peka??apabila sifat kepekaan wujud dalam diri kita, insyaAllah orang akan mula untuk mempercayai kita.

2) Ya..jadilah orang yang boleh dipercayai.Apabila kita mula dipercayai orang lain, insyaAllah mudah untuk kita mendapat sesuatu amanah dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Prof. turut memberi contoh tentang diri dia yang menjadi orang kepercayaan Menteri Besar Kedah, Ust. Azizan untuk menjemput Tun Dr. Mahathir dalam satu conference iaitu LIFE conference di Langkawi nanti. Puas beliau menolak, namun atas kepercayaan yang diberikan ust.Azizan, beliau akur.

3) Dihormati/Bermaruah jadilah mahasiswa yang dihormati. Walaupun muda, namun kita perlu menjadi seorang yang boleh dihormati oleh sesiapa, baik para senior, pensyarah ataupun staf. kerna apa??kerna kita punya maruah. .

4) Amanah dengan apa yang diberi. jangan kita persiakan amanah yang yang diberikan. Dalam konteks mahasiswa kini, kita lihat berapa ramai antara kita yang amanah dengan apa yang diberikan khususnya ibu bapa.? mungkin ada seorang daripada seorang. Teringat penulis, akan amanah yang diberikan oleh ayah & mama. Kalau dulu, zaman sekolah, cukup jaga dengan amanah mereka sehinggakan hendak keluar outing hujung minggu , pasti memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu. Namun, kini tidak lagi..(Perlu dimuhasabah juga).

5) Berkorban yang dimaksudkan melepaskan sesuatu yang dirasakan tidak berapa penting dan mengutamakan sesuatu yang lebih penting dan bermanfaat yang punya nilai lebih tinggi dari yang lain.

6) Mengutamakan orang lain. Sifat ini sebenarnya banyak kita belajar dalam kita berukhwah. Ya, darjat yang paling tinggi dalam berukhwah. Tapi mengapa ianya sukar untuk diaplikasikan.

Ciri-ciri ini perlu ada untuk menjadi orang yang hebat yang dikatakan boleh mempengaruhi orang yang berpengaruh. Jika ciri-ciri ini belum wujud dalam mahasiswa Insaniah pada hari ini, ianya perlu diubah. Sikap mahasiswa Insaniah yang suka bersifat cukup-cukup amat membimbangkan. Cukup dengan apa yang ada, tidak mahu melawan, tidak mahu perubahan, tidak suka akan persaingan amat membimbangkan. Bimbang apabila berasa cukup apabila result yang keluar hanya sekadar lulus..Mahasiswa perlu mendampingi para pensyarah, bukan hanya apabila hampir exam sahaja.

So, we should to build up our empire..Berubahlah menjadi mahasiswa yang sebenar.,menjadi hamba yang diiktiraf, yang dipandang Allah swt, insyaAllah..

Mudah-mudahan tahun 1432H ini menyaksikan sejarah yang lebih baik untuk diri kita agar kita tidaklah digolongkan dalam golongan orang-orang yang rugi, yang mana hari semalamnya adalah sama dengan hari sebelumnya dan menjadi orang yang celaka(nauzubillah) apabila hari ini lebih buruk dari hari yang sebelumnya..

-Salam Ma'al Hijrah 1432H-

wallahua'lam..